Monday, April 23

Sehari bersama THE DENTIST (part 3)

Alhamdulillah.
Rasanya sudah lama saya tak buat entry bab-bab aktiviti harian ni.  Tergerak pula hati nak buat hari ini. Seperti yang korang semua tau, sudah dekat sebulan saya memakai braces (pendakap gigi). Bukan saja-saja nak pakai,tapi memandangkan selalu ada jek makanan-makanan terselit celah gigi. Jadi lebih baik saya luruskan saje semuanya. Senang sikit lepas ni kan.

Ini adalah nama-nama bagi benda yang ada pada gigi saya ni. Dan baru-baru ini pergi berjumpa dengan dentist.  Dalam kepala hanya ingat gigi akan dicabut, sebab dah 4 minggu, dan setiap kali temujanji lepas ini adalah 4 minggu berturut-turut sampai lah waktunya braces ini dibuka.
Jadi semalam semasa di klinik, ramai jugak orang. Biasa lah hujung minggu, tak sangka pulak pada hari semalam ada patient klinik ini akan membuka braces nya setelah 3 tahun memakainya! Budak perempuan, muda lagi. Serius lama, dan setelah dibuka braces nya. Memang dia senyum tak berhenti dan susah nak tutup mulut. Gembira sangat rasanya  sampai nak senyum sampai ke telinga. Memang tersusun rapi.
Pertemuan saya dengan dentist kali ini, adalah untuk menukar Arcwire tu. Sebelum datang tu, dalam kepala duk ingat nak kena cabut gigi hari ini. Rupanya belum lagi! Tapi gigi semua dah bertembung-tembung, dah sengal-sengal. Kalau korang nak tau tiap-tiap pagi bangun mesti akan rasa kebas teramat sangat. Rasa mulut cam bengkak-bengkak.
Tapi lama-lama jadi kebiasaan lah. Kena tahan lah sikit. Rupanya setiap kali berjumpa lepas ini doc akan tukar Arcwire tu kepada lebih besar dan besar lagu supaya akan tarik gigi dengan lebih kuat lagi.  Ouchh.

Serius, semalam masa doc tu menukarkan wire ni memang teramat sakit sangat masa dia nak pasang semula tu. Sebab bila wire tu dah besar, then dia nak paksa masuk dekat bracket tu so doc kena tekan kuat sikit.  Gigi bawah saya ni memang dah sakit sangat sebab dah berlaga dengan bracket yang lain, jadi bila doc tu tekan lagi kuat. Uhhh. Terangkat kaki. Sakit!

Biasa la kan, memula je sakit tapi lama-kelamaan ok dah. Bila dah selesai menukar wire baru, so lebih kuat dan mulut ni lebih senang bergerak. Tapi macam biasa lah, seminggu mesti akan sakit-sakit mulut dan sekarang pun dah rasa macam bengkak dekat gusi. Sebab tarikan wire ni agak kuat.

Dah selesai, jadi lepas ini 4 minggu berikutnya akan bertemu doc lagi. Dan disaat itu memang konfem, saya akan diberitahu mana gigi yang akan dicabut. Sekali lagi terseksa.

Rasanya itu jelah. Sekian terima kasih.  Bagi yang ada kemusykilan samada braces ini boleh pakai ke atau tidak. Boleh klik SINI.

p/s : semalam terserempak dengan naib juara imam muda musim 1.

"CAKAP BIAR TERASA"

SESIAPA YANG INGIN MEMENANGI VOUCHER RM5300? Cepat tinggal beberapa hari saja! 
Klik SINI

Sunday, April 22

Jagalah Hubungan mu dengan Allah.

Allahuakhbar!Allahuakhbar!

Allahuakhbar!Allahuakhbar!

Asyhadu allaa ilaaha illallaah!

Azan berkumandang. Menandakan masuknya waktu solat bagi orang yang beragama Islam. Seruan Ilahi yang menyeru kita untuk pergi bertemu dengan DIA, menyembah DIA, merendahkan diri di hadapan DIA. Supaya kita tidak leka dan terus lalai dengan hal duniawi. Itu tandanya Dia sayang pada kita. Dia nak bertemu dengan kita, mendengar rintihan kita. Supaya kita pun bertambah sayangnya pada Dia!.

Antara perkara yang sangat sukar nak dilakukan pada akhir zaman ini, adalah pergi menyambut seruan Ilahi. Betul tak? Memang kita hormat azan, senyap semasa azan dilaungkan, ataupun jawab azan itu. Tapi adakah kita faham maksud azan itu sendiri? Kita umat Muhammad, mesti tau kenapa azan itu dilaungkan! Bukan sekadar diam seketika atau berhenti membuat sesuatu, tapi pergilah sahut! Allah panggil kita, tapi kenapa kita masih berani lagi untuk tinggalkan? atau lengah-lengahkan? Takde rasa takut ke dengar laungan azan?

Itu bermakna hati kita masih ada cinta pada dunia. Masih ada lagi kekotoran yang belum kita bersihkan. Orang yang hatinya bersih dan beriman pada Allah, dia adalah orang yang paling pantang dengar azan. Bilamana azan itu berkumandang,dengan segera dia akan terus pergi menunaikan sholat. Walau apa yang terjadi sekalipun.

Dari situlah kita dapat menilai bagaimana relationship kita dengan Allah. Kekuatan iman kita, keteguhan pendirian kita dan kasih sayang kita pada Allah. Cintai Allah, dan Allah akan mencintai kita.

Dan pada ketika Allah telah mencintai kita, kita sangat-sangat beruntung. Allahurobbi.

Rasulullah bersabda :

"Jika Allah mencintai seorang hamba, Jibrail menyeru di langit, sesungguhnya Allah telah mencintai si polan, maka cintailah dia. Lalu semua penghuni langit segera mencintainya. Kemudian diletakkan baginya penerimaan (qabul) di atas bumi" (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jadi tidak rugi bukan kita mencintai Allah? menjaga hubungan baik dengan Allah. Jika kita mencintai Allah, maka Allah akan buat orang sekeliling menyayangi kita. Walau dengan siapa pun kita bertemu. Kerana kasih sayang Allah itu sangat luas.


Mari kita lihat bagaimana caranya itu kita menjaga hubungan dengan Allah :

  • Sentiasa bertaubat.
  • Sentiasa bersyukur atas nikmat
  • Bersabar.
  • Redha
  • Bersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah.
  • Perbanyakkan solat-solat sunat atau bangun malam.
  • Memperbanyakkan selawat.
Jika kita benar-benar mengaku beriman pada Allah, kita sayangkan Allah. Maka buktikan kasih sayang itu. Buktikan ketakutan kita pada kekuasaan Allah, kebesaran Allah!. Apa yang kita lakukan itu mestilah niat kerana Allah, insyaAllah apa yang kita cuba buat itu atau nak sampaikan sesuatu mesti mudah. Dan semuanya berjalan dengan lancar.

Sentiasa kita mengutamakan Allah dalam segala hal. Kerana apa yang berlaku semua adalah kehendakNya. Setiap apa yang kita lakukan, fikirkan pandangan Allah terlebih dahulu dan bukannya pandangan manusia!. Jangan membelakangkkan Allah dan berpaling dari Dia.

Ingat, apabila kita menjaga hubungan baik kita dengan Allah, maka Allah akan menjaga kita. Ingatilah Allah itu selalu. Wallahualam.

 "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka "
- Ali Imran: 190-191

p/s : minta maaf,agak lama tak mengupdate blog.

"CAKAP BIAR TERASA"