Monday, May 28

Ya Rasulullah..Kami Lalai.

"Ummatii...ummatii....ummatii...."

Kata-kata terakhir kekasih hati Rasulullah S.A.W.




Ya Rasulullah..Sayangnya Rasulullah pada kami..

Ya Rasulullah..kamilah umatmu yang terbaik itu, Rasulullah..umat mu..tapi..

Tapi kami lalai..leka..lupa Ya Rasulullah..

Ya Rasulullah..kami tahu Rasulullah adalah pesuruh Allah..
Tapi kami tak pernah mengucapkannya dengan sepenuh hati..jarang untuk perbaharui syahadah kami..

Ya Rasulullah..kami mengaku beriman kepadaMu..
Tapi kami hanya ucapkan di mulut..bukannya pada hati dan akhlak kami...

Ya Rasulullah..kami menginginkan syafaat Mu di hari kiamat nanti..
Tapi kami jarang untuk berselawat ke atas Mu, Ya Rasulullah...sombongnya kami ini..

Ya Rasulullah..Rasulullah tinggalkan mukjizat paling hebat iaitu Al-Quran pada kami untuk kami selamat..
Tapi kami tidak pernah membaca kitab itu Ya Rasulullah..kami biarkan ia berhabuk...

Ya Rasulullah..kamu sanggup berkorban demi Islam hingga tersebar sehingga sekarang..
Tapi kami sekarang mempermain-mainkan agama Islam ini Ya Rasulullah...

Ya Rasulullah..kamu tinggalkan kami dengan Sunnah Mu..supaya kami dikasihi Allah..
Tapi kami ada rasa tidak yakin dengan Sunnah mu Ya Rasulullah..kami sombong lagi..

Hayati kisah ini :

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Ya Rasulullah..kamu tidak kenal pada kami..siapa kami..
Tapi kamu sangat merindui kami Ya Rasulullah..sangat sayang pada kami..

Ya Rasulullah..
Kami di sini lalai..
Kami di sini cintakan Dunia berbanding Akhirat..
Kami di sini lebih sukakan hiburan berbanding dengan majlis ilmu..
Kami di sini suka melakukan dosa..
Kami di sini leka..
Kami di sini jarang untuk mengingati Mu..
Kami di sini tidak pernah rasa untuk mengenali Mu..
Kami di sini lebih mencintai orang lain dari Mu..

Tapi Ya Rasulullah..
Bukan semua di antara kami seperti di atas. Ada antara kami juga yang sangat merindui Mu. Ingin sekali bertemu dengan Mu Ya Rasulullah. Ada juga yang selalu memuji-muji dan berselawat ke atas kamu.

Terima kasih Ya Rasulullah..
Di atas segala pengorbanan Mu.
Di atas segala pesanan Mu.
Di atas segala akhlak yang di tunjukkan oleh Mu.

Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: 
"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya."
(Bukhari dan Muslim)
 p/s : semoga kita tidak lupa pada pemimpin yang agung ini, Rasulullah. jangan sesekali lupa, supaya nanti kita akan dapat bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

"CAKAP BIAR TERASA"

Sunday, May 20

Orang Yang Membenarkan.

Kenalkah anda pada sahabat-sahabat Rasulullah? 4 pemimpin khulafa-ar rasyiddin yang hebat-hebat belaka!

Entry kali ini saya nak bawakkan kisah sahabat yang paling rapat dengan Rasulullah iaitu Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Seorang sahabat yang sangat setia. Segala apa yang di lakukan Rasulullah, pasti Abu Bakar juga melakukannya.


Pernah Rasulullah bersabda "Barangsiapa yang ingin melihat atiqullah (orang yang dibebaskan Allah) dari neraka maka lihatlah Abu Bakar".


Dalam riwayat lain, Rasulullah pernah berkata kepadanya "Wahai Abu Bakar, engkau adalah orang yang dibebaskan Allah dari neraka".

Gelaran yang dikenali pada masa jahiliyah sebelum Nabi diangkat menjadi Rasul. Dan oleh kerana akhlak dan peribadi Abu Bakar yang sangat baik dan disenangi ramai itu, maka dia di gelar Atiq.

Bagaimana Abu Bakar menerima gelaran As-Siddiq (yang membenarkan)? Kisah ini berlaku sewaktu Israk Mikraj.

Israk ialah perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Mikraj ialah perjalanan Rasulullah dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Pagi hari sekembalinya baginda dari perjalanan itu mana menyampaikan berita ini kepada umum. Tiba-tiba datang musuh Islam yang paling ketat, Abu Jahal. Tiba-tiba dia duduk dekat baginda lalu membuka pembicaraan :

"Ada apa khabar?"

"Ada." sahut Rasulullah singkat sahaja.

"Khabar apa?" tanya Abu Jahal lagi.

"Malam tadi aku dibawa pergi" sahut Rasulullah.

"Ke mana?" tanya Abu Jahal.

"Ke Baitulmaqdis" Rasulullah menyambung.

Belum sempat Rasulullah meneruskan ceritanya, maka Abu Jahal mencelah :

"Engkau sudah ada di sini sekarang?"

"Ya". jawab Rasulullah bersungguh-sungguh.

Abu Jahal ingin agar Rasulullah bercerita didepan orang ramai. Maksudnya supaya Nabi s.a.w di tertawakan orang, apalagi cerita Nabi kali ini sungguh ajaib, dan ganjil amat.

Maka Abu Jahal lantas mengumpulkan orang ramai.

"Ceritakanlah kepada orang ramai ini apa yang telah engkau ceritakan kepadaku." kata Abu Jahal.

Maka Rasulullah pun bercerita. Mendengar cerita Rasulullah itu maka bermacam-macam orang mengejek, bertepuk tangan dan sebagainya. Ada orang pergi kepada Saiyidina Abu Bakar untuk menceritakan kejadian itu, tujuannya barangkali untuk menguji sama ada percayakah Abu Bakar r.a atau tidak. Sebab dialah seorang sahabat Rasulullah yang paling akrab sekali diantara para sahabat baginda.

"Percayakah engkau?" tanya orang itu, setelah habis bercerita.

"Apakah benar ia bercerita begitu?" tanya Abu Bakar.

"Benar" ujarnya.

"Kalau benar, maka tentu benarlah segala ceritanya" jawab Abu Bakar, tegas lagi bersahaja.

Disebabkan beliau sahaja membenarkan apa sahaja yang diucapkan ataupun dilakukan oleh Rasulullah, maka semenjak itu beliau digelar Siddiq yang bererti "Orang yang membenarkan".

Memang demikianlah iman Abu Bakar Al-Siddiq r.a itu, sentiasa dia membenarkan Rasulullah s.a.w, sahabatnya yang paling tercinta. Sekiranya seluruh dunia sekalipun enggan mempercayai Rasulullah, dialah tentunya sahaja jiwa yang tetap pendiriannya.

Wallahualam.

Firman Allah bermaksud: 
“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)

p/s : peristiwa Israk Mikraj berlaku pada bulan Rejab. lagi sehari kita akan menyambut kedatangan Rejab. Selamat beramal yea sahabat-sahabat.

Saturday, May 12

Jangan Terlalu Tergesa-Gesa!

Zaman teknologi sekarang. Zaman dunia di hujung jari. Maksudnya sangat mudah kita mendapat maklumat sekarang. Hanya dengan sekali klik, semua kisah keluar.  Dari macam-macam sumber. Antara benar atau tidak maklumat itu,tidaklah kita tahu. Tidaklah kita nak selidik sedalam-dalamnya.

Apa yang kita buat? baca dan terus nilai.

Ada yang tak baca,tapi terus bagi penilaian,bagi pendapat dan hujah2 yang konon-kononnya anda tahu segala kebenarannya! Hebat kan anda?

Ada yang tak baca langsung, dan tak nilai langsung, tapi sampaikan. Tapi bila di tanya kesahihannya, jawab dengan ikut kata hati. Membuatkan orang lebih keliru.

Tahu tak kalau perkara anda sampaikan itu tidak benar, ia boleh jatuh jadi fitnah! Tahu kan dosa memfitnah?

Dan sekalipun perkara itu benar, dan tuan punya badan pun tak suka perkara itu disebarkan. Ia akan jatuh mengumpat.! Tahu kan dosa mengumpat?

Tak perlu rasanya dijelaskan lagi dosa-dosa itu. Yelah, anda serba serbi tahu semuanya. Ilmu yang dicedok dari internet. Semuanya benar! Anda hebat sebab dapat sampaikan!

Tahu tak syaitan gelak tengok hangpa?

Jom kita hayati cerita ini :

Seorang pemuda dari Mesir bertanya kepada Ibnu Umar r.a tentang Khalifah Uthman bin Affan r.a. Penduduk Mesir pada masa itu kebanyakannya sangat membenci khalifah dan berancang untuk memberontak kepada kerajaan.

Lelaki itu berkata "Benarkah Uthman melarikan diri dalam Perang Uhud?"

Ibnu Umar menjawab "Ya"

Dia bertanya lagi "Benarkah Uthman juga tidak hadir dalam Peperangan Badar?"

Ibnu Umar  menjawab "Ya"

Dia bertanya lagi "Benarkah Uthman juga tidak hadir dalam peristiwa Bai'atul Ridwan?"

Sekali lagi Ibnu Umar menjawab "Ya"

Orang itu segera bangkit sambil bertakbir "Allahuakbar!". Dia menyangka bahawa persepsi buruk dan kebenciannya kepada Sayidina Uthman selama ini memang beralasan. Ia semakin yakin bahawa Khalifah Uthman adalah seseorang yang sangat buruk kerana perbuatan-perbuatan keji yang telah disahihkan oleh Ibnu Umar tadi.

Menyedari kesalahfahaman ini, Ibnu Umar segera berkata "Ke sinilah kamu agar aku jelaskan (perkara sebenarnya). Adapun Uthman lari dari Perang Uhud, maka aku bersaksi bahawa Allah telah memaafkannya (sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali Imran (3) : 155).

Adapun ketidakhadirannya dalam Perang Badar disebabkan isterinya, Ruqayyah binti Rasulullah SAW, sedang sakit. Rasulullah memerintahkan Uthman merawat isterinya. dan bersabda :
" Kamu akan mendapatkan pahala dan ghanimah perang seperti orang yang menghadiri Perang Badar."

Adapun ketidakhadirannya pada Bai'atul-Ridwan, disebabkan Rasulullah telah mengutusnya pergi ke Makkah. Andai ada orang lain yang lebih terhormat di kota Makkah daripada Uthman, nescaya Baginda akan mengutus orang itu. Baiah (sumpah setia) itu terjadi setelah kepergian Uthman,

Rasulullah bersabda "Ini tangan Uthman," lalu Baginda menepukkan tangan itu ke tangannya (sebagai tanda baiah Uthman)"

Persepsi tentang Khalifah Uthman bin Affan berbalik 180 darjah apabila berita tentang beliau dijelaskan dengan sempurna, bukan terpecah-pecah. Beliau ternyata seorang tokoh yang sangat mulia di sisi Rasulullah SAW, tidak seperti sangkaan lelaki sebentar tadi.

Lalu Ibnu Umar berkata "Sekarang, pergilah kamu sambil membawa maklumat ini "

Sering kali kita bersikap seperti lelaki Mesir ini. Kita melihat sesuatu masalah menerusi satu sudut yang tidak sempurna,akhirnya kesimpulan yang kita buat turut tidak sempurna.

Dari sikap kita yang tergesa-gesa menyampaikan maklumat dan sesuatu perkara itu lah yang menimbulkan perpecahan umat sekarang. Terjadi lah isu tuduh menuduh, fitnah juga makin berleluasa.  Jangan kerana kita tidak suka akan seseorang itu, terus-menerus kita hendak sampaikan perkara yang bukan-bukan tentang dirinya, sedangkan itu adalah tidak benar.  Kalau pun ia adalah benar, kita tiada hak untuk memberitahu pada semua orang, melainkan ia adalah sesuatu perkara yang zalim dilakukan.

Jadi sahabat, selidik dulu berita yang hendak disampaikan tu. Jangan disebabkan anda seorang, berpecah belah umatnya jadinya. Renung-renungkan. Rajin-rajinkan diri untuk mengali maklumat.

Wallahualam.

p/s : bagi sesiapa yang suka sebar fitnah tu, bawa-bawa lah bertaubat.

"CAKAP BIAR TERASA"

Tuesday, May 8

Negara Ini Aman?

Negara kita.

Negara Malaysia. Siapa tidak sayang pada negara sendiri. Betul tak sahabat? Semua mesti sayangkan negara masing-masing. Inginkan keamanan dan kemakmuran.

Itu saja? Bukan! Malah ingin negara yang masyarakat islamnya mengikut syariat islam. Negara yang penuh dengan keberkatan. Dari situlah akan terjalin ukhwah yang kuat, keamanan yang sebenar dan kesenangan yang sebenar.

Ramai yang menyangka keamanan negara adalah dengan tidak adanya peperangan, kacau-bilau, tiada paksaan, dan semua bebas untuk melakukan apa saja. Yup. Memang kalau dilihat dari tersurat, dari luaran. Itulah keamanan yang kita nampak. Yang kita pilih itu lah yang terbaik. Adakah itu yang terbaik?

Mungkin yang tersurat mudah untuk kita nampak dan buat penilaian. Tapi yang tersirat adakah kita nampak? Bagi saya, negara yang boleh dikatakan aman dan sentosa itu mesti di nilai dari tersurat dan tersirat. Yang tersirat inilah paling utama dan patut di ambil kira. Sebab takut ia membengkak dan terus bernanah.

Nak tau apa yang tersirat itu? Jom tengok








Kes pembuangan bayi, ramai saudara kita yang minum arak, pergaulan bebas, yang menyangka tutup aurat sebenarnya tidak, yang dengki-mendengki, bergaduh sesama islam, mengumpat, memfitnah, hiburan yang melampau dan bermacam-macam lagi penyakit hati yang semakin parah.

Aman kah negara kita? Aman ke? Keamanan macam inikah yang kita nak?

Kita sering nampak isu yang besar, dan sengaja diperbesar-besarkan. Diheboh-hebohkan. Tetapi perkara kecil seperti ini tiada siapa nak bendung. Malah ada yang menyalahkan takdir pula. Tapi hakikatnya salah siapa? Bagaimana anda rasa perkara ini boleh berlaku? Tepuk dada dan tanya iman.

Wahai pemimpin-pemimpin yang rakyat sanjung, yang rakyat sayang. Fikirlah sejenak. Tak boleh ke kamu semua duduk berbincang? Tak kira lah dari mana pun kamu, duduk berbincanglah sebagai umat islam. Buangkan ego yang tersangat-sangat besar dalam diri kamu tu. Demi rakyat yang semakin parah ni.

Pemimpin di atas masing-masing ingin memperjuangkan hak sendiri. Berdebat dan sebagainya, tapi rakyat di bawah? Masing-masing bertengkar, fitnah-memfitnah, caci mencaci. Kekuatan umat islam semakin rapuh, akibat dari kamu yang mementingkan diri sendiri. Buka lah mata dan lihat, apa jadi pada umat islam sekarang di Malaysia ini? Tak nampak ke?

Lebih baik pemimpin-pemimpin sekalian memikirkan kedudukan kamu di akhirat kelak. Sebab kerana amanah yang diberi adalah dari Allah. Dan kamu yang bakal menjawab di akhirat kelak. Tak takut ke dengan azab Allah? "Pemimpin yang zalim tidak akan cium bau syurga"

Kami rakyat biasa yang kerdil ini sayangkan semua pemimpin. Cuma yang kami inginkan ialah sebuah negara yang dipimpin mengikut syariat islam. Yang mengikut 100% dari Al-Quran. Ikut sunnah. Rasulullah dah pesan, ikut pada yang ini nescaya kamu akan selamat. Nape mesti kita menolak? Kenapa mesti kita berdegil? Kenapa?

Perkara yang memudahkan kita Allah dah tunjukkan, tapi kita masih nak lakukan perkara yang susah. Dan lebih teruk lagi membawa ke murka Allah. Tak salah kan apa yang kami minta ini? Jangan dari kelemahan kita ini yang semakin parah nanti akan ada pihak lain ambil kesempatan. Dan saat itu mungkin semua baru tersedar, yang segala tomahan dan fitnah sesama saudara sendiri, akhirnya memakan diri masing-masing.

Harap mana yang masih leka itu, sedar akan apakah sebenarnya makna keamanan negara yang sepatutnya.

p/s : luahan hati dari rakyat Malaysia yang amat-amat sayangkan islam.

"CAKAP BIAR TERASA"

Friday, May 4

Wanita dengan Perfume!





Haruman daripada minyak wangi yang dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.

Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.

Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.

Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.

Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A’raaf, ayat yang ke-31:
“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”
Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu’alam.

Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya.

Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata:
“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Haram
“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda:
“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur:
“Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……” (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.

sumber : MyIbrah

Harap kaum wanita jelas tentang perkara ini. Jika anda ada masalah bau badan, ada cara untuk menghilangkan nya, atau mengurangkan baunya. Sila cari.  Bukan alasan anda boleh sembur seberapa banyak yang mungkin pada badan, kerana ingin mengelakkan bau.

p/s : kalau sebelum kawin,pakai wangi2 sebab nak pikat hati lelaki. besok kalau dah kawin, cuba tengok apa respon suami anda bila bau badan anda yang original? fikir-fikirkan lah. Islam itu melarang adalah untuk kebaikan bersama.

Tuesday, May 1

Allah akan tolong kita.

Kita semua sudah tahu, di akhirat kelak bagaimana keadaan huru-hara nya kan? Masing-masing memikirkan nasib yang bakal akan kekal diterima. Samada Syurga balasannya ataupun Neraka Jahanam.

Di padang mashyar nanti, semua akan keseorangan. Takut! Mengigil! Menyesal!

Kenapa aku di dunia dulu terlalu leka?

Kenapa aku terlalu mencintai dunia sehingga lupa pada akhirat?

Kenapa aku tidak sedar?

Kenapa aku masih berdegil?

Pertanyaan demi pertanyaan. Tapi masihkah kita sempat waktu itu? Tidak sempat sahabat-sahabat. Tawakal jelah bila kita menerima buku amalan kita. Samada dari tangan kanan atau tangan kiri. Perbanyakkan lah selawat ke atas Nabi supaya kita boleh perolehi syafaatnya nanti. Jalankan lah Sunnahnya jika kita betul-betul memerlukan pertolongan Rasulullah.

Allah jugak boleh membantu kita. Dan kita juga memang memerlukan bantuan Allah disaat-saat getir itu. Pertolongan dari segi apa? Pertolongan yang merupakan melepaskan kita dari bala semasa di akhirat.

Kita semua mesti inginkan bantuan dari Allah untuk kita lepas semua bala bukan? Jadi ini adalah cara-cara untuk kita terlepas dari bala Allah. InsyaAllah.


  • Kita menolong orang islam yang dalam kesusahan di dunia. Seperti kesusahan ketika dia sakit, kita datang melawat dan memberi sedekah bantuan untuk meringankan dia. Dan selain itu, orang muslim yang dalam kelaparan.
  •  Mencari ubat untuk orang yang sakit kita lawati. Jangan kita pergi rumah dia promote suruh dia beli ubat pula, tapi kita dermakan ubat pada dia. Itu adalah lebih baik. Kita berusaha mencari ubat itu.
  • Kemudian, menolong orang yang dilanda musibah. Seperti banjir, tsunami dan sebagainya. Kita hulurkan bantuan seperti pakaian,makanan dan sebagainya. Ini juga antara cara untuk kita dapat lepas dari bala di akhirat kelak.
  • Dan akhir sekali, membantu orang yang difitnah. Contohnya kita menegakkan kebenaran, dan menidakkan apa yang tersebar mengenai dia. Dan kita juga menutup aibnya. 
Allah berfiman :
  Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan “Kafur”, 
Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya. 
(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. 
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,
  
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,
surah al-insan, ayat 5~9
 InsyaAllah sahabat-sahabat semua, inilah cara-cara untuk kita mendapat bantuan dari Allah untuk melepaskan kita dari bala-bala di akhirat. Selain itu juga, sebenarnya dengan perbanyakkan sedekah ini pun dapat membersihkan hati kita. Wallahualam.

Dan sebagai perkongsian bersama, ada 3 cara mudah untuk kita semua mudah menuju ke Jannah. Iaitu pertama ialah tunaikan perintah Allah (solat,puasa,berzikir dan sebagainya). Dan yang ke-2 ialah takut pada hari kiamat. Dengan adanya perasaan ini kita akan lebih mudah untuk mengikut perintah Allah. Dan yang terakhir ialah bagi makan 3 golongan ini. (miskin, anak yatim, dan orang yang terkepung).

Orang yang terkepung ini misalnya seperti orang-orang di Palestin, yang sememangnya susah untuk keluar dari tempat mereka. Jadi kita hulurkan bantuan dari sini dan hantar ke sana.

Ingat semua, kita kena bantu orang lain, permudahkan urusan mereka. InsyaAllah kita akan dipermudahkan di akhirat kelak. Derma di dunia, rasanya di akhirat. Kita sanggup berhabis ribuan ringgit untuk perkara lain yang hanya sementara, tapi bila mana untuk sedekah kita jadi kedekut dan takut duit habis. Sedangkan dengan pelaburan inilah yang hasilnya terus berkekalan nanti. Nikmat yang tak terhingga.

Jadi, perbanyakkan sedekah anda!

p/s : ingat..dunia hanya sementara..akhirat yang kekal akan kita rasa sampai bila-bila.

"CAKAP BIAR TERASA"