Wednesday, August 29

Meraih Cinta Allah.

Semua makhluk menginginkan Cinta dari Pencipta kita. Cinta yang teragung. Sebab bila kita dapat meraih cinta dari Dia, semuanya akan dipermudahkan. Dan kita sendiri akan dapat menempuh segala dugaan dengan tenang, hati bahagia. Tiada rasa gundah gulana dengan hal duniawi.

Dari setiap sudut Allah tunjukkan jalan kepada kita. Berbahagialah pada orang yang mendapat cinta dan kasih sayang dari Allah.

Alhamdulillah, diberi juga daya dari Allah untuk membuat entry. Maaflah yea membiarkan blog ini tidak berupdate. Kadang-kadang nak menulis nie memerlukan idea juga, bila mencurah-curah datang dah tak tahu plak nak taip yang mana satu, jadi semua dalam draft je.

Jadi saya nak update yang ini dulu lah, sebab dah lama sangat.

Antara faktor-faktor bagi kita meraih cinta Allah S.W.T ialah :

  1. Dengan Al-Quran Al Karim.
  •  Antara faktor yang besar manfaatnya dan disukai Allah. Ialah kita berpegang pada Al-Quran. Kitab yang sangat agung dan yang di wasiatkan oleh kekasih kita Rasulullah Shallallahu'Alaihi Wasallam kepada umatnya. Kita tidak akan berjaya dan beruntung kecuali dengan membaca, merenung dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran.
  • Kita akan hidup dalam kemerosotan nilai dan kehancuran prinsip dan pendidikan, jika kita berpaling daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.
  • Bila kita berpaling dari Al-Quran, hati kita akan mati dan kita akan kehilangan cahaya yang berkilauan, kehilangan sinar yang gemerlapan dan kehilangan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah, kecuali orang yang dirahmati Allah.
  • Bila kita membaca Al-Quran sebenarnya seolah-olah kita membaca sejarah kehidupan Rasulullah.
  • Rasulullah seolah-olah Al-Quran yang berjalan di permukaan bumi ini.
  • Rasulullah sentiasa memposisikan darjat manusia sesuai dengan kadar kedekatan dan interaksi mereka dengan Al-Quran, dan baginda juga memuliakan dan menghargai mereka sesuai dengan kadar hafazan mereka terhadap Al-Quran.
         Anas bin Malik R.A berkata " Suatu ketika Rasulullah S.A.W mengirimkan pasukan tentera untuk berperang di jalan Allah.

         Maka Rasulullah bertanya kepada mereka, 
      "Siapakah di antara kalian yang telah menghafaz Al-Quran (seluruhnya)?"

Mereka semua diam. Baginda bertanya lagi
" Adakah diantara kalian yang telah menghafaz beberapa surah daripada Al-Quran?"

Salah seorang daripada mereka menjawab
"Saya wahai Rasulullah." 

Baginda bertanya lagi.
"Apa yang sudah kamu hafaz?"

Dia menjawab,
"Saya sudah menghafaz surah Al-Baqarah"

Maka Rasulullah berkata kepadanya.
"Kalau begitu, berangkatlah dan kamulah pemimpin mereka."

(At-Tirmidzi, no 2876; Ibnu Khuzaimah,no.2524,Ibn Hibban,no 2007,2553; An-Nasa'i dalam As-Sunan Al-Kubra,no.8656 dan Al-Hakim,no.1657. Lihat Dha'if At-Tirmidzi,no.1036)

Beginilah kriteria pemimpin yang diajarkan oleh Islam. Orang mendekati dirinya dengan Allah, Al-Quran dan Al-Sunnah. Baginda sendiri solat membaca sehingga 3-4 surah 1 rakaat. Sahabat-sahabat dulu semua berinteraksi dengan Al-Quran. Jika masuk ke rumah mereka, pasti akan dapat melihat Al-Quran tergantung.

Jadi faktor yang pertama ialah mendekatkan diri kita dengan Al-Quran, membaca, hidup sentiasa berinteraksi dengan Al-Quran, mentadabburinya dan mengulang-ulanginya serta mengamalkannya.

        2.  Melepaskan Dunia (Tajarud'Aniddunya) dan Zuhud Terhadapnya.
  • Tidak terlalu berkeinginan terhadap kehidupan dunia dan dia sentiasa bersikap zuhud.(meninggalkan kesenangan duniawi).
  • Salah 1 peringkat yang paling agung dalam mendekatkan seorang hamba kepada Allah Ta'ala adalah ketika dia mengeluarkan kecintaannya terhadap dunia daripada dalam hatinya.
  • Ketika kita keluarkan kecintaan kita terhadap dunia dari hati kita dan gantikan dengan kecintaan kepada Allah semata, nescaya Allah akan mencintainya.
  • Janganlah kita menjadi hamba kepada kemewahan dan kesenangan di dunia.
Rasulullah bersabda :
" Celakalah orang yang menjadi penghamba dinar, celakalah orang yang menjadi penghamba dirham, celakalah orang yang menjadi penghamba kemewahan dan celakalah orang yang menjadi hamba kemegahan, celaka dan binasalah mereka semua, kalau dia sudah jatuh tersungkur, maka dia tidak akan boleh untuk bangkit kembali"
(Al-Bukhari,no 2887).

Mengapa mereka celaka? Kerana dia telah menjadi hamba hawa nafsunya. Allah berfirman :

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya[1384] dan Allah Telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? "  (surah al-jatsiyah ayat 23)

  • Janganlah kita menjadi hamba dunia sehingga tidak boleh menghadiri majlis-majlis ilmu dan dakwah Islamiyyah dan tidak sempat lagi untuk berzikir dan membaca Al-Quran kerana kecintaan kita kepada dunia.
  • Dalam kita sahih Al-bukhari, Abdullah bin Umar R.A berkata, Rasulullah memegangi kedua bahuku seraya berkata :
" Jadilah kamu seolah-olah seorang yang asing atau seorang musafir di dunia ini " 
(Al-Bukhari,no6416 dan Ahmad,no 4750,4982)

  • Maksud meninggalkan kemewahan dunia di sini adalah kamu mengambil sesuatu yang bermanfaat bagimu daripada dunia ini, sehingga tidak terlalu menyibukkan dan melalaikanmu, tetapi menjadi penolong bagimu dalam berbuat ketaatan kepada Allah.
        3.  Qiyamullail (Solat Malam).
  • Faktor ketiga untuk meraih cinta Allah ialah dengan solat di malam hari. Solat-solat sunat seperti tahajjud dan solat witir. Mengadukan keadaan kita yang sesungguhnya kepada Allah.
Allah menyebutkan salah satu karakteristik hambaNya yang bertaqwa adalah gemar melakukan qiamullail. Seperti dalam firmanNya :

" Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohon keampunan di waktu pagi sebelum fajar" (Surah Adz-Dzariyat 17-18)

  • Rasulullah sangat mengalakkan umatnya untuk sentiasa melakukan qiamullail. Qiamullail boleh di laksanakan walaupun kita hanya menunaikan solat sunat 2 rakaat sebelum subuh tiba. sekitar setengah atau sepertiga jam sebelum subuh. Agar kita tergolong didalam golongan yang sentiasa mengingati Allah pada saat-saat indah itu.
Daripada Abu Hurairah R.A berkata ; Rasulullah S.A.W bersabda :
" Allah S.W.T turun ke langit dunia, tatkala sepertiga waktu malam masih tersisa, Allah menyeru. "Adakah di antara hambaKu yang berdo'a kepadaKu, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah di antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah di antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya"
( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
  • Untuk mudah bangkit qiamullail ialah dengan tiada melakukan dosa di siang hari, perbanyakkan bertasbih,bertahmid dan bertakbir sebelum tidur itu. Tidur di siang hari, dan juga kita kena tekad untuk bangun malam untuk melakukan solat.
  • Qiamullail ini adalah sunnah Rasulullah dan sebagai lambang kejayaan Islam.
  • Peluang ini kita ambil, untuk luahkan segalanya kepada Allah, kerana pada waktu ini Allah sangat-sangat dekat pada kita.
       4.  Merenungkan ayat-ayat Allah.
  • Merenung seketika ayat-ayat Allah dan tanda-tanda kebesaran Allah.
  • Setiap kali kita melihat sesuatu ciptaan Allah, maka hal itu akan mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dan kita akan selalu mengingatiNya.
  • Lihat dan renung bagaimana kita diciptakan, langit bagaimana ia ditinggikan. Dan macam-macam lagi kebesaran Allah S.W.T.
  • Ini adalah salah satu faktor terpenting yang dapat menolong kita untuk mencintai Pencipta, Allah telah menciptakan segala sesuatu dan menunjukkan tanda-tanda kebesaranNya kepada kita semua, sehingga kita dapat merenunginya dan menambah kedekatan denganNya.
Cukup sekadar 4 itu, InsyaAllah kita akan dapat meraih cinta Allah. Pentingkah cinta dari Allah? Ia memang penting, sebab ia dapat menyelamatkan kita didunia dan di akhirat. Tak perlulah kita hanya mengejarkan cinta-cinta yang dusta didunia sedangkan kita tidak pernah tenang dan tenteram dengannya.

Bila kita mencintai Allah dan Allah mencintai kita, nescaya segala makhluk ciptaanNya akan mencintai kita. Percayalah. Usaha dan gapai dulu cinta dari Allah, baru kemudian akan datang cinta lain kepada kita. Jangan terlalu terpedaya dengan kehidupan dunia. Ingat itu wahai sahabat semua.

p/s : mana lebih penting? Cinta Allah atau Cinta Manusia?

sumber : buku "Jagalah Allah, Allah menjagamu.." karangan Dr.Aidh bin Abdullah Al-Qarni.

Saturday, August 18

Puasa Ku Terhapus di 1 Syawal.


Alhamdulillah. Sudah hampir sebulan umat islam berpuasa. Semoga segala amalan kita semua diterima Allah, dan mendapat apa yang telah dijanjikan iaitu "TAQWA". Setelah bertungkus lumus kita berusaha untuk mencari malam yang lebih baik dari 1000 bulan, kini tiba masanya untuk kita menyambut kemenangan. Kemenangan apa? Kemenangan yang menjadikan kita lebih bertaqwa. Dan bulan Ramadhan ini dapat mendidik kita untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Itu la sebenar-benarnya kemenangan. Bukannya kemenangan itu adalah menahan lapar dan dahaga sahaja. Menahan lapar dan dahaga saja belum tentu kita akan dapat pahala dan apa yang dijanjikan Allah dalam bulan Ramadhan ini.

1 Syawal. Hari Raya Aidil Fitri. Hari di mana semua saling bermaaf-maafan, bersalam-salaman dan berkunjung-kunjungan. Mungkin ada setengah orang bergembira ketika menyambut Syawal, malah ada yang 3 hari sudah tidak sabar untuk menyambut Syawal, sedangkan waktu itu adalah 10 malam terakhir Ramadhan. Bagi mukmin sejati, mereka akan menangisi pemergian bulan Ramadhan dan pertambahkan amal ibadat pada 10 malam terakhir, bagi mereka belum tentu lagi tahun depan akan bertemu lagi dengan Ramadhan.

Orang-orang yang macam inilah yang benar-benar berjaya mendidik diri mereka untuk menjadi hamba Allah dan bukannya hamba Ramadhan. Kebiasaan orang yang menjadi hamba Ramadhan ini, hanya semangat pada seminggu awal Ramadhan dan akhirnya akan kecundang hingga ke akhirnya dan berikutnya. Maka sia-sia sahaja puasanya selama sebulan.

Tak salah kita untuk sambut Hari Raya, islam tidak melarang. Tapi yang menjadi kesalahan ialah kita melupakan segala yang wajib dan yang ditegah Allah. Perkara semasa bulan puasa tidak perlulah saya jelaskan mana yang patut atau tidak patut kerana hanya ada hari ini saja yang tinggal. Apa yang boleh kita ubah dan buat ialah esok. Pada 1 Syawal inilah ramai umat islam yang lalai dan leka. Lupa segalanya apa yang ditegah pada bulan Ramadhan.

Antara perkara-perkara yang ditegah kita lakukan ketika di 1 Syawal. Perkara-perkara sebegini sebenarnya akan menghapuskan segala pahala kita di bulan Ramadhan dalam kita sedar atau tidak. Sebabkan ini telah menjadi kebiasaan kita, kita pun ambil tak kesah saja.

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.  

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.  

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.  

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.  

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin) 

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Sumber : zaharuddin.net


Benar bukan? Perkara-perkara di atas sudah berapa lama kita buat dalam tidak sedar. Rupanya boleh menghapuskan segala amalan kita di bulan puasa. Tak rasa rugi ke anda berpuasa?

Jadi, mohon pada sahabat-sahabat semua. Jagalah yea apa yang telah kita jaga pada bulan Ramadhan. Kita memang boleh berseronok dan bergembira tapi jangan lupa yea. Setelah habis berpuasa dan tamat bulan Ramadhan, Syaitan laknatullah di lepaskan, kita berpuasa sebulan dan mereka semasa diikat sudah merancang bagaimana hendak menghapuskan pahala umat Muhammad yang berpuasa selama sebulan di hari raya yang pertama iaitu 1 Syawal.

Semoga apa yang saya kongsikan ini memberi manfaat pada kita semua. Berdoalah semoga kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Salam Eidul Fitr dari saya. Maaf jika ada tersalah kata dan menguris hati pembaca-pembaca semua.

Saya kongsikan video ini untuk anda semua. Semoga kita berolehi kemenangan yang sebenar. InsyaAllah.


p/s : Ingat sahabat-sahabat!

Monday, August 6

Peristiwa di Bulan Ramadhan ( Perang Badar )

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, kita sudah pun masuk separuh bulan Ramadhan. Rasa begitu cepat masa berlalu, sayang untuk meninggalkan bulan yang penuh keberkatan ini. Jika ada yang terlupa kita sudah pun masuk fasa yang kedua iaitu fasa Pengampunan dari Allah. Jadi digalakkan kita perbanyakkan istighfar, amalan dan bertaubat agar kita mendapat keampunan Allah bila keluar dari bulan Ramadhan nanti.
Sempena hari turunnya Al- Quran pada hari ini, kita jangan lupa juga pada perang pertama umat islam di zaman Rasulullah. Iaitu Perang Badar. Perang penentuan pertama dalam sejarah islam.





Sebagai peringatan pada yang tidak tahu dan juga sebagai ulangkaji kita tentang perang yang amat bermakna buat umat islam ini. Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Sebab Berlakunya Perang Badar.

Rasulullah mengetuai tentera dan bergerak di sepanjang jalan menuju ke Makkah. Kemudian belok ke kiri ke arah Badar dan apabila tiba di al-Safra. Baginda mengirim 2 orang peninjau untuk memerhati pergerakan unta-unta Quraisy.

Tentera Islam seramai 300 ke 317 orang, 82-86 Muhajirin, 61 daripada Aus dan 170 daripada Khazraj. Mereka tidaklah begitu lengkap bersenjata juga tidak begitu bersedia. Mereka cuma mempunyai 2 ekor kuda kepunyaan al-Zubair bin al-Awwam dan al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, 70 unta untuk ditunggangi 2 atau 3 orang secara bergilir-gilir. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri, Ali dan Murthid bin Abi Murthid al-Ghanawi mempunyai seekor unta.

Mereka ingin memintas sebuah kafilah kepunyaan kaum Quraisy yang di ketuai oleh Abu Sufyan. Kafilah itu yang sedang bergerak tidak jauh dari Madinah itu membawa 50ribu wang emas dinar yang dikawal oleh 40 orang sedang bergerak. Abu Sufyan yang sentiasa bersedia, dan menyedari bahawa laluan yang diikutinya amat merbahaya. Dia juga ingin tahu pergerakan Nabi sallallahu alaihi wasallam. Dan orangnya menyampaikan maklumat mengenai tentera Islam yang sedang merancang serang hendap ke atas kafilahnya.  Untuk menjamin keselamatannya, dia mengupah Damdam bin Amr al-Ghifari untuk meminta bantuan daripada orang Quraisy. Lalu dia menuju ke Makkah.

" Oi, Quraisy! Dagangan kamu berada dengan Abu Sufyan! Kafilah kamu sedang dipintas Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan sahabat-sahabatnya. Aku tak dapat nak cakap apa akan berlaku ke atas mereka. Tolong! Tolong! "

Lantas mereka mengumpulkan bala tentera sehingga tiada pun yang tertinggal kecuali Abu Lahab, yang mewakilkan dirinya kepada seorang yang pernah berhutang dengannya. Tidak lama kemudian, sepasukan tentera seramai 1300 orang termasuk 100 pasukan berkuda dan 600 askar perisai dengan jumlah unta yang banyak dapat di kumpul.

Semasa mereka bergerak ke arah utara menuju ke Badar, mereka mendapat maklumat baru daripada Abu Sufyan yang menyuruh mereka pulang kerana kafilah telah dapat melepaskan diri daripada tentera Islam. Abu Sufyan secara kebetulan apabila mendapat tahu niat orang Islam, lalu dia melarikan kafilahnya ke arah Laut Merah. Dengan muslihat ini, dia berjaya melepaskan diri dari serangan hendap.

Bagaimanapun, Abu Jahal yang bongkak dan sombong mendesak agar terus maju ke Badar, serta tinggal di sana selama 3 malam untuk bersuka ria. Tentera Quraisy kini berjumlah 1000 orang setelah ada yang berpecah dan pulang ke Makkah.

Rasulullah sedar ini adalah situasi yang serius kerana Abu Jahal tidak akan berpatah balik. Lalu baginda mengadakan mesyuarat dan meminta pandangan dari sahabat-sahabat yang lain. Abu Bakar adalah orang pertama bercakap dan berjanji mematuhi perintah Nabi sallallahu alaihi wasallam. Diikuti Umar dan yang lain berikrar janji setia bersama Rasulullah.

Mereka berkata :

" Pergilah kamu dan Tuhan kamu untuk berlawan dan kami akan berlawan bersama kamu! "

Nabi sallallahu alaihi wasallam terharu dengan sumpah setia dan semangat bekorban yang ditunjukkan para sahabat. Baginda bersabda

" Mari kita mara dan beri sorakan, kerana Allah telah berjanji kepadaku salah satu di antara dua (jalan yang menguntungkan melalui rampasan perang atau berjuang pada jalan Allah menentang orang kafir) dan dengan izin Allah sekarang aku ternampak seolah-olah musuh kita bergelimpangan lemah"

Nabi sallallahu alaihi wasallam menghabiskan masanya pada malam sebelum pertempuran dengan bersolat dan berdoa. Tentera Islam yang keletihan kerana perjalanan jauh, dapat tidur nyenyak secukupnya, dan ini menandakan anugerah Allah agar fikiran mereka tidak terganggu.

Hal ini berlaku pada hari Jumaat malam 17 Ramadhan, tahun kedua Hijrah.

Pada keesokan hari, Nabi sallallahu alaihi wasallam mengajak pengikut-pengikutnya bersolat serta berdoa dan menggesa mereka berperang demi Allah.

Setelah semua barisan tentera di susun, maka mulalah pertempuran. Orang kafir pertama yang melepaskan panah ketika bertempur juga menjadi mangsa pertama ialah al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi, seorang penyembah berhala yang garang lagi panas baran. Dia bertarung dengan Hamzah bin Abdul Mutalib.

Apabila peperangan menjadi sengit Baginda mula bersolat dan memohon kepada Allah, katanya :

" Ya Allah! Sekiranya golongan Islam ini tewas pada hari ini, maka tiada lagi mereka menyembah-Mu"

Baginda terus menangis bermohon sehingga serbannya jatuh dari bahunya.

Allah menyambut segera dengan mengirim malaikat dari langit untuk membantu dan menolong Nabi sallallahu alaihi wasallam dan para sahabatnya. Al-Quran ada menyebut :

" (Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada malaikat, Sesungguhnya aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang kafir dengan perasaan gerun, oleh itu pancunglah leher mereka (musuh) dan tetaklah tiap-tiap anggota mereka " (Surah al-anfal : 12)

Allah berfirman :


"Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut" (Surah al-anfal : 9)
 
Sebaik sahaja perang berakhir, Nabi sallallahu alaihi wasallam hendak melihat musuh Islam, Abu Jahal. Abdullah bin Mas'ud menjumpainya ketika menghembuskan nafas terakhir. Sambil memijak lehernya dan berkata :

" Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah mengaibkan kamu?"

Musuh Islam ini masih berdegil dan menjawab

" Aku tidak malu. Aku terbunuh oleh orang aku sendiri di medan perang "

Kemudian dia bertanya, "Siapa yang menang perang?"

Ibn Mas'ud menjawab

"Allah dan Pesuruh-Nya"

Kemudian Abu Jahal berkata lagi dengan dendam kesumatnya.

"Kau telah ikut jalan paling sukar, kau pengembala! "

Ibn Mas'ud memenggal kepalanya dan membawanya ke hadapan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang memuji-muji Allah apabila melihatnya.

Lalu Baginda keluar melihat mayat Abu Jahal. Dan bersabda :

" Inilah Firaun negeri ini "

Maka itu berakhir lah Perang umat islam yang suci ini. Dengan tertewasnya Abu Jahal. Istimewanya peperangan ini ialah bantuan dari Allah dan juga kesetiaan para sahabat Rasulullah yang sanggup berkorban walaupun mereka dalam kuantiti yang sedikit.

Dan yang paling penting ialah keyakinan mereka pada pertolongan dan janji Allah. Semoga kita dapat menghayati erti sebenar peperangan ini, lebih-lebih lagi ia berlaku didalam bulan puasa. Di mana kita keletihan hanya menahan lapar dan dahaga, tapi Rasulullah berjuang dengan para sahabat mempertahankan Islam. Wallahualam.

Selawat ke atas Baginda dan para sahabat.


p/s : semoga kita semua mempunyai semangat seperti para sahabat dalam peperangan ini.