Monday, August 6

Peristiwa di Bulan Ramadhan ( Perang Badar )

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, kita sudah pun masuk separuh bulan Ramadhan. Rasa begitu cepat masa berlalu, sayang untuk meninggalkan bulan yang penuh keberkatan ini. Jika ada yang terlupa kita sudah pun masuk fasa yang kedua iaitu fasa Pengampunan dari Allah. Jadi digalakkan kita perbanyakkan istighfar, amalan dan bertaubat agar kita mendapat keampunan Allah bila keluar dari bulan Ramadhan nanti.
Sempena hari turunnya Al- Quran pada hari ini, kita jangan lupa juga pada perang pertama umat islam di zaman Rasulullah. Iaitu Perang Badar. Perang penentuan pertama dalam sejarah islam.





Sebagai peringatan pada yang tidak tahu dan juga sebagai ulangkaji kita tentang perang yang amat bermakna buat umat islam ini. Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Sebab Berlakunya Perang Badar.

Rasulullah mengetuai tentera dan bergerak di sepanjang jalan menuju ke Makkah. Kemudian belok ke kiri ke arah Badar dan apabila tiba di al-Safra. Baginda mengirim 2 orang peninjau untuk memerhati pergerakan unta-unta Quraisy.

Tentera Islam seramai 300 ke 317 orang, 82-86 Muhajirin, 61 daripada Aus dan 170 daripada Khazraj. Mereka tidaklah begitu lengkap bersenjata juga tidak begitu bersedia. Mereka cuma mempunyai 2 ekor kuda kepunyaan al-Zubair bin al-Awwam dan al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, 70 unta untuk ditunggangi 2 atau 3 orang secara bergilir-gilir. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri, Ali dan Murthid bin Abi Murthid al-Ghanawi mempunyai seekor unta.

Mereka ingin memintas sebuah kafilah kepunyaan kaum Quraisy yang di ketuai oleh Abu Sufyan. Kafilah itu yang sedang bergerak tidak jauh dari Madinah itu membawa 50ribu wang emas dinar yang dikawal oleh 40 orang sedang bergerak. Abu Sufyan yang sentiasa bersedia, dan menyedari bahawa laluan yang diikutinya amat merbahaya. Dia juga ingin tahu pergerakan Nabi sallallahu alaihi wasallam. Dan orangnya menyampaikan maklumat mengenai tentera Islam yang sedang merancang serang hendap ke atas kafilahnya.  Untuk menjamin keselamatannya, dia mengupah Damdam bin Amr al-Ghifari untuk meminta bantuan daripada orang Quraisy. Lalu dia menuju ke Makkah.

" Oi, Quraisy! Dagangan kamu berada dengan Abu Sufyan! Kafilah kamu sedang dipintas Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan sahabat-sahabatnya. Aku tak dapat nak cakap apa akan berlaku ke atas mereka. Tolong! Tolong! "

Lantas mereka mengumpulkan bala tentera sehingga tiada pun yang tertinggal kecuali Abu Lahab, yang mewakilkan dirinya kepada seorang yang pernah berhutang dengannya. Tidak lama kemudian, sepasukan tentera seramai 1300 orang termasuk 100 pasukan berkuda dan 600 askar perisai dengan jumlah unta yang banyak dapat di kumpul.

Semasa mereka bergerak ke arah utara menuju ke Badar, mereka mendapat maklumat baru daripada Abu Sufyan yang menyuruh mereka pulang kerana kafilah telah dapat melepaskan diri daripada tentera Islam. Abu Sufyan secara kebetulan apabila mendapat tahu niat orang Islam, lalu dia melarikan kafilahnya ke arah Laut Merah. Dengan muslihat ini, dia berjaya melepaskan diri dari serangan hendap.

Bagaimanapun, Abu Jahal yang bongkak dan sombong mendesak agar terus maju ke Badar, serta tinggal di sana selama 3 malam untuk bersuka ria. Tentera Quraisy kini berjumlah 1000 orang setelah ada yang berpecah dan pulang ke Makkah.

Rasulullah sedar ini adalah situasi yang serius kerana Abu Jahal tidak akan berpatah balik. Lalu baginda mengadakan mesyuarat dan meminta pandangan dari sahabat-sahabat yang lain. Abu Bakar adalah orang pertama bercakap dan berjanji mematuhi perintah Nabi sallallahu alaihi wasallam. Diikuti Umar dan yang lain berikrar janji setia bersama Rasulullah.

Mereka berkata :

" Pergilah kamu dan Tuhan kamu untuk berlawan dan kami akan berlawan bersama kamu! "

Nabi sallallahu alaihi wasallam terharu dengan sumpah setia dan semangat bekorban yang ditunjukkan para sahabat. Baginda bersabda

" Mari kita mara dan beri sorakan, kerana Allah telah berjanji kepadaku salah satu di antara dua (jalan yang menguntungkan melalui rampasan perang atau berjuang pada jalan Allah menentang orang kafir) dan dengan izin Allah sekarang aku ternampak seolah-olah musuh kita bergelimpangan lemah"

Nabi sallallahu alaihi wasallam menghabiskan masanya pada malam sebelum pertempuran dengan bersolat dan berdoa. Tentera Islam yang keletihan kerana perjalanan jauh, dapat tidur nyenyak secukupnya, dan ini menandakan anugerah Allah agar fikiran mereka tidak terganggu.

Hal ini berlaku pada hari Jumaat malam 17 Ramadhan, tahun kedua Hijrah.

Pada keesokan hari, Nabi sallallahu alaihi wasallam mengajak pengikut-pengikutnya bersolat serta berdoa dan menggesa mereka berperang demi Allah.

Setelah semua barisan tentera di susun, maka mulalah pertempuran. Orang kafir pertama yang melepaskan panah ketika bertempur juga menjadi mangsa pertama ialah al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi, seorang penyembah berhala yang garang lagi panas baran. Dia bertarung dengan Hamzah bin Abdul Mutalib.

Apabila peperangan menjadi sengit Baginda mula bersolat dan memohon kepada Allah, katanya :

" Ya Allah! Sekiranya golongan Islam ini tewas pada hari ini, maka tiada lagi mereka menyembah-Mu"

Baginda terus menangis bermohon sehingga serbannya jatuh dari bahunya.

Allah menyambut segera dengan mengirim malaikat dari langit untuk membantu dan menolong Nabi sallallahu alaihi wasallam dan para sahabatnya. Al-Quran ada menyebut :

" (Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada malaikat, Sesungguhnya aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang kafir dengan perasaan gerun, oleh itu pancunglah leher mereka (musuh) dan tetaklah tiap-tiap anggota mereka " (Surah al-anfal : 12)

Allah berfirman :


"Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut" (Surah al-anfal : 9)
 
Sebaik sahaja perang berakhir, Nabi sallallahu alaihi wasallam hendak melihat musuh Islam, Abu Jahal. Abdullah bin Mas'ud menjumpainya ketika menghembuskan nafas terakhir. Sambil memijak lehernya dan berkata :

" Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah mengaibkan kamu?"

Musuh Islam ini masih berdegil dan menjawab

" Aku tidak malu. Aku terbunuh oleh orang aku sendiri di medan perang "

Kemudian dia bertanya, "Siapa yang menang perang?"

Ibn Mas'ud menjawab

"Allah dan Pesuruh-Nya"

Kemudian Abu Jahal berkata lagi dengan dendam kesumatnya.

"Kau telah ikut jalan paling sukar, kau pengembala! "

Ibn Mas'ud memenggal kepalanya dan membawanya ke hadapan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang memuji-muji Allah apabila melihatnya.

Lalu Baginda keluar melihat mayat Abu Jahal. Dan bersabda :

" Inilah Firaun negeri ini "

Maka itu berakhir lah Perang umat islam yang suci ini. Dengan tertewasnya Abu Jahal. Istimewanya peperangan ini ialah bantuan dari Allah dan juga kesetiaan para sahabat Rasulullah yang sanggup berkorban walaupun mereka dalam kuantiti yang sedikit.

Dan yang paling penting ialah keyakinan mereka pada pertolongan dan janji Allah. Semoga kita dapat menghayati erti sebenar peperangan ini, lebih-lebih lagi ia berlaku didalam bulan puasa. Di mana kita keletihan hanya menahan lapar dan dahaga, tapi Rasulullah berjuang dengan para sahabat mempertahankan Islam. Wallahualam.

Selawat ke atas Baginda dan para sahabat.


p/s : semoga kita semua mempunyai semangat seperti para sahabat dalam peperangan ini.

No comments:

Post a Comment

BeSt 4 me: