"Buat apa aku nak sibuk!"
"Alaaa..kita buat hal kita sudah."
Ungkapan-ungkapan ini memang sering kita dengar bagi orang-orang yang memang tidak mahu ambil tahu hal sekeliling yang berlaku sekitar dia.
Mari saya kongsikan 1 cerita :
Pada suatu hari, Khalifah Turki (Sultan Ahmad I) mengirim sepucuk surat rasmi kepada Syeikh Sa'dudin untuk bertanya, " Apakah kekurangan yang terdapat di negara ini (sehingga kita mengalami kemunduran dan kekalahan daripada musuh) padahal Allah menjanjikan kemenangan bagi umat Islam? "
Syeikh yang bijak ini segera menulis jawapannya, "Bukan urusan saya". Sultan Ahmad menjadi sangat marah apabila membaca jawapan tersebut. Dia menyangka bahawa Syeikh Sa'dudin mengabaikan pertanyaan penting ini.
Sultan Ahmad segera memerintahkan Syeikh Sa'dudin menghadap pada saat itu juga, lalu memarahinya dengan sangat keras! Dia berkata "Mengapa engkau mengabaikan pertanyaanku? Beraninya kau berkata bukan urusan saya untuk suatu masalah yang sangat penting?"
Dengan tenang, Syeikh itu menjelaskan " Saya tidak mengabaikan pertanyaan tuanku, sebaliknya saya menjawab pertanyaan tersebut dengan sangat teliti. Kalimat "bukan urusan saya" inilah penyebab utama kemunduran umat Islam.
Jika setiap individu sama ada pejabat di dalam kerajaan ataupun rakyat biasa hanya mementingkan diri sendiri, dan berkata "bukan urusan saya" setiap kali melihat permasalahan umat, maka kemunduran demi kemunduran, dan kekalahan demi kekalahan akan menimpa umat Islam secara menerus.
Setelah memahami ucapan Syeikh yang penuh makna, Sultan Ahmad menjadi sangat malu. Lalu dia segera meminta maaf kepada Syeikh Sa'dudin dan memberikan hadiah yang banyak kepada beliau.
Lihatlah cerita di atas sahabat-sahabatku, memang ungkapan ini sangat memakan umat Islam sedikit demi sedikit. Dan pada zaman sekarang ia menjadi suatu ungkapan biasa pada mulut setiap umat. Rasulullah sendiri mengajar kita agar mengambil berat atau bersimpati di antara 1 sama lain.
Rasulullah bersabda :
"Perumpamaan kaum Mukminin dalam cinta-kasih mereka ibarat sesusuk tubuh. Jika satu anggota menderita sakit, sesusuk tubuh akan berasa demam dan tak boleh tidur"
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah sendiri pernah mengikat persaudaraan antara Muslim lain dengan Muslim lain di Madinah dulu. Mereka semua menghadapi susah dan senang bersama!
Umar bin Al-Khattab, walaupun dia seorang pemimpin yang agung. Seorang khalifah! tetapi dia sendiri pernah berkata "Aku bersumpah tidak akan mencicipi daging dan mentega sebelum semua rakyatku kenyang dan makan kedua-duanya" perkara ini berlaku di mana rakyat Umar ketika itu mengalami musim kemarau. Dia tidak mementingkan dirinya, walaupun dia dalam kelaparan.
Lihatlah sikap simpati ini menguntungkan semua orang, malah boleh menjadi suatu umat yang kuat dan bersatu hati. Jika kita bersama-sama mengambil berat antara satu sama lain, maka bangsa kita berpotensi untuk menjadi penguasa dunia.
Jangan mementingkan diri sendiri. Bila kita lihat sesuatu perkara yang mungkar berlaku atau seseorang dalam kesusahan, atau dalam apa keadaan sekali pun. Dari sebesar-besar keadaaan sehinggalah sekecil-kecil kuman, hulurkan bantuan anda,tegur mana yang mampu. Buatlah sesuatu agar ia boleh merubah seluruh umat. Jangan hanya diam, dan lari. Kemungkinan perkara yang kita tinggalkan itu akan menjadi suatu tabiat di keluarga kita, dek hanya kesilapan kita tidak mahu ambil tahu.
Sayidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata :
"Orang yang hanya berfikir untuk sesuatu yang masuk ke dalam perut (seperti makanan dan minuman), maka nilai orang itu tidak lebih daripada sesuatu yang keluar dari perut (najis) "
Akhlak umat Islam sekarang amat rendah, hanya kerana 1 ungkapan "Bukan urusan saya" ia boleh menjadi kerosakan pada umat. Kerana tidak mahu menegur kesilapan mereka, ia menjadi terus hanyut dan hanyut.
Itulah disarankan kita supaya berdakwah dengan apa cara sekalipun. Supaya kita terus-menerus dapat menyampaikan perkara yang baik. Walaupun tak banyak, tapi yang sedikit itu lama-kelamaan akan menjadi banyak dan merebak-rebak.
Ayuh sahabat-sahabatku! Buangkan sikap tidak mahu ambil tahu itu! Bantulah rakan-rakan kita yang sedang dalam kelekaan itu. Tegurlah diantara satu sama lain, bukan hanya pada sahabat terdekat sahaja, malah orang sekeliling anda yang anda tidak kenal pun boleh tegur. Asalkan dia bersaudara dengan kita iaitu ISLAM.
Wallahualam.
"CAKAP BIAR TERASA"
Nak Menang Baucer Buku RM5300? KLIK SINI